12.15.2010

Imam Syafie - ilmuan yang suka merendah diri

AL-IMAM al-Syafie atau sebenarnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Othman bin Syafi'i bin al-Saib merupakan anak murid kepada al-Imam Malik yang paling masyhur. Beliau berketurunan Quraisy. Dibesarkan dan dilahirkan di Chazzah, Palestin. Selepas kematian bapanya, beliau tinggal bersama ibunya dalam keadaan amat miskin di Ghazzah.

Meskipun berada dalam kehidupan susah, namun kemiskinan bukan merupakan batu penghalang baginya untuk menimba ilmu pengetahuan. Berbekalkan kecekalan hati dan semangat yang berkobar diiringi pula dengan doa ibunya, beliau berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.
Al-Syafie memulakan kariernya sebagai penuntut ilmu di Ghazzah. Pada peringkat permulaan ini beliau belajar al-Qur'an daripada ibunya sendiri serta menghafal kesemua ayat-ayat al-Qur'an yang dipelajarinya. Setelah berumur lebih kurang sepuluh tahun, beliau dibawa oleh ibunya berpindah ke Makkah. Di Makkah semangat beliau untuk belajar semakin berkobar apabila dia mendapati bahawa kota Makkah dihuni oleh para ulama' muktabar.
Pada peringkat awal di Makkah, beliau memulakan pengajian dengan menghafal hadith nabi sahaja. Di samping itu, beliau juga meminjam kitab al-Muwatta karangan al-Imam Malik daripada seorang lelaki di kota Makkah dan menghafalnya. Dengan daya ingatan yang tajam, beliau dapat menghafal dan mengingati keseluruhan isi kandungan al-Muwatta' dalam tempoh sembilan malam sahaja.
Dalam proses menghafal hadith tersebut, banyak hadith yang berkaitan dengan ilmu ditemui. Penemuan hadith dalam bab fiqh, telah menimbulkan keinginannya untuk menimba ilmu fiqh. Tidak cukup dengan apa yang dimiliki, beliau mula menceburi bidang fiqh dan berdamping dengan beberapa ulama' terkemuka di Makkah seperti Muslim Ibn Khalid al-Zinji dan Sufian Ibn 'Unaiyah.
Dalam tempoh perdampingannya dengan ulama' fiqh di kota Makkah, beliau mengambil kesempatan mempelajari fiqh Ahl-Ra'y dan juga fiqh Ahli Hadith serta mengumpulkan segala data ilmiah yang berkaitan dengan kedua-dua mazhab fiqh tersebut. Menurut al-Syeikh Abu Zahrah, "Sesungguhnya al-Syafie telah mengumpul ilmu fiqh Ahlu Ra'y dan ilmu fiqh Ahli al-Hadith dengan kadar yang seimbang".
Selam ilmu fiqh dan hadith, al-Syafie juga meminati bidang kesusasteraan Arab. Lantaran minatnya ini, beliau menjaga lidahnya agar sentiasa bertutur dengan menggunakan bahasa Arab baku. Di samping itu, beliau juga mendampingi kabilah Huzail yang merupakan kabilah Arab yang paling fasih dan paling menguasai syair-syair di kalangan kabilah-kabilah Arab. Dalam tempoh ini, al-Syafie sempat juga belajar memanah sehingga berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan pemanah-pemanah handalan pada masa itu.
Setelah umurnya meningkat 20 tahun, al-Syafie mengambil keputusan menuju ke Madinah untuk menimba ilmu secara bersemuka dengan al-Imam Malik, pengarang kitab al-Muwatta' yang dihafalnya sebelum ini. Kehadirannya di Madinah untuk belajar disambut baik oleh al-Imam Malik. Dalam pertemuan kali pertamanya dengan al-Imam Malik, al-Syafie pernah menceritakan, "Aku tidak pernah merasa hebat serta kagum terhadap seseorang sebagaimana rasa hebat dan kagumku terhadap al-Imam Malik".
Di Madinah beliau setia sebagai murid al-Imam Malik selama 9 tahun sehinggalah gurunya ini meninggal dunia. Sebagai seorang ilmuwan yang rendah diri serta bijak membahagikan masa, beliau sering mengisi masa lapangnya dengan menziarahi kabilah-kabilah Arab lain di padang pasir.
Setelah al-Imam Malik meninggal dunia, al-Syafie kembali sernula ke kota Makkah. Disebabkan kesempitan hidup yang dialaminya, beliau berusaha mencari pekerjaan untuk menyara hidupnya. Akhirnya beliau diterima bekerja sebagai seorang pegawai kerajaan di Najran. Di sana, beliau bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan Syiah yang sentiasa mengkritik pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah. Ekoran ini beliau telah dituduh menyertai dan menyokong golongan pemberontak.
Akibatnya, al-Syafie telah dibawa menghadap khalifah Harun al-Rasyid. Dengan mengemukakan hujah yang kukuh, akhirnya beliau didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Dalam proses pengadilan ini juga beliau bertemu dengan Muhammad Ibn al-Hasan, hakim Baghdad pada masa itu. Muhammad Ibn al-Hasan juga merupakan rakan sepengajian semasa sama-sama berguru dengan al-Imam Malik.
Atas dasar simpati ke atas bekas rakan sepengajiannya, Muhammad Ibn al-Hasan memohon dari-pada khalifah Harun al-Rasyid untuk menjamin al-Syafie serta membenarkan beliau menetap di rumahnya. Dalam tempoh sebagai orang jaminan di rumah Muhammad Ibn Hasan, beliau berkesempatan mempelajari fiqh aliran ahlu ra'y daripada tokoh berkenaan. Setelah lebih kurang tiga tahun berada di Baghdad, beliau kemudiannya kembali semula ke Makkah.
Terdapat banyak perbezaan pen-dapat antara mazhab fiqh, Hanafi dengan yang dipelajari. Namun dengan kecerdikan dan keilmuan yang ada, beliau mengkaji pendapat tersebut serta mengolahnya kembali. Dengan itu terbentuklah kaedahnya sendiri yang dikenali sebagai Usul-al-Fiqh.
Setelah sembilan tahun mengajar di Makkah, beliau merasakan penemuan terbaru ini perlu disebarkan demi kepentingan umat Islam. Dengan ini, pada tahun 195 Hijrah beliau memilih Baghdad sebagai pangkalan ilmu dan mengambil langkah untuk menuju ke kota tersebut sekali lagi. Di Baghdad, kelas pengajian yang dianjurkan oleh beliau begitu mendapat sambutan ramai termasuklah di kalangan ulama'. Antara tokoh yang sering mengikut pengajaran beliau ialah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishak bin Rawahaih, Daud al-Zahiri, Abu Tsaur, Ibn Jabir al-Tabari, Abu Yaakub Yusuf Ibn Yahya al-Buaiti, Abu Ibrahim Ismail Ibn Yahya al-Madani, al-Hasan Ibn Muhammad al-Za'farani, al-Rabiah bin Sulaiman bin Abdul Jabbar al-Muradi, dan lain-lain lagi.
Lantaran kebijaksanaan yang dimiliki, muridnya al-Imam Ahmad bin Hanbal menyifat serta mengiktiraf al-Syafie sebagai seorang Mujaddid kurun ke-2. Pengiktirafan ini berdasarkan kepada sebuah hadith Nabi "Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada awal setiap seratus tahun seorang mujaddid yang akan membuat pembaharuan dalam urusan agama".
Sesuai dengan itu, al-Imam Ahmad bin Hanbali turut berpendapat bahawa khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan seorang mujaddid pertama.

Dalam usaha menguasai ilmu hadith, Ahmad bin Hanbali pernah mengatakan, "Aku tidak mengetahui tentang nasikh dan mansukh hadith (masalah pemansukhan hadith) sehinggalah aku berdamping dengan al-Imam al-Syafie".
Menurut muridnya, al-Rabiah bin Sulaiman "Al-Imam sentiasa mengetuai majlis ilmu di masjid (Jami' Amr). Apabila beliau menunaikan solat subuh akan datanglah kepada beliau ahli al-Qur'an. Setelah terbit matahari, mereka (ahli al-Qur'an akan beredar dan muncul pula ahl al-hadith bertanya kepada beliau tentang tafsir dan makna-makna hadith sehingga masuk waktu dhuha. Setelah gelincir waktu dhuha, datang pula kepada
Arab(Nahu), Arudh, dan syair. Mereka akan berdamping dengan al-Imam al-Syafie sehinggalah masuk waktu tengah hari"
Selepas beberapa tahun berada di Baghdad, pada tahun 199 Hijrah, al-Syafie mengambil keputusan untuk mengembara dan menetap di Mesir. Di Mesir beliau berpeluang mengajar dan mengembangkan ilmu pengetahuan sehinggalah beliau meninggal dunia di sana pada tahun 204 Hijrah dalam usia 54 tahun.
Sebagai seorang ilmuwan agung, beliau turut menghabiskan sisa-sisa umurnya semasa berada di Baghdad dan di Mesir dengan mengarang kitab. Menurut Yaqut al-Hamawi seorang ahli kaji sejarah, sepanjang hayat beliau, selain kitab al-Umm dan kitab al-Risalah, al-Imam al-Syafie sempat menulis sebanyak 174 kitab (risalah kecil) dengan pelbagai tajuk. Semuanya membincangkan segala permasalahan fiqh masa itu. Pengorbanan beliau dalam bidang ilmu amat disanjung. Hasil khazanah ilmiahnya menjadi bahan rujukan para pelajar dan intelektual Islam hingga kini.

Rujukan: Dewan Agama & Falsafah April 200

No comments: