10.30.2009

BAHASA MELAYU BAHASA KU



Dewasa ini, sistem pendidikan negara telah digoncangkan dengan bantahan oleh ramai pihak mengenai pelaksanaan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sistem ini dilihat gagal dalam meningkatkan penguasaan para pelajar dalam kedua-dua matapelajaran tersebut. Bahkan ada kajian yang menyatakan bahawa ianya telah memburukkan lagi kefahaman para pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut trutamanya pelajar luar bandar..
Pendek kata, tak perlu dikejar bahasa yang menjadi gunaan utama di bumi ini. Yang perlu dikejar adalah gaya pemikiran yang kritikal, budaya membaca yang mantap, dan semua itu mesti melalui satu bahasa yang sungguh dekat di hati manusia; iaitu bahasa kita seharian di rumah.
sambung lain kali plak..takdak idea dah



Sebenarnya tidak salah kita menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris terutamanya dalam meningkatkan lagi penguasaan kita dalam pelbagai bidang ilmu. Benar, bahasa Inggeris luas penggunaannya terutama dalam teknologi maklumat. Namun penumpuan kita kepada penggunaannya perlulah disesuaikan dengan tarafnya sebagai bahasa kedua sahaja. Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan merupakan bahasa rasmi Malaysia sepatutnya disanjung dan dimartabatkan lagi kedudukannya. Kalau dulu bahasa Melayu menjadi lingua franca di Kepulauan Nusantara dan mampu mengangkat kegemilangan Kerajaaan Kesultaan Melaka, serta diiktiraf oleh pelbagai bangsa hatta si penjajah sekalipun, mengapakah kini kemampuan bahasa Melayu itu diragui sendiri oleh anak bangsa kita, iaitu anak bangsa Malaysia.Dari sudut sejarah, bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua-franca (bahasa perantaraan ) bagi daerah-daerah kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Bahasa ini digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di kepulauan Melayu dan orang-orang mendatang seperti pedagang-pedagang dan penggembara-pengembara daripada Eropah, Asia Tengah, China dan India. Ketika itu bahasa Melayu ialah bahasa perdagangan dan sosial yang mempunyai pengaruh yang cukup kuat di rantau Nusantara (Abu Bakar Yang, Majalah Visi, April 2007: 13).Faisal Tehrani ada membuat kajian berkaitan hal ini dan dinyatakannya dalam tulisannya “Ada Apa Dengan Bahasa Melayu?”. Beliau ada menjelaskan bahawa Francois Valentyn yang melawat Melaka dan menulis buku Oud en Nieuw Oostindien II Del V di akhir abad ke-17 pernah membuat kenyataan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa perdagangan yang penting di rantau ini sehinggakan menyifatkannya setaraf bahasa Perancis di Eropah. Kehebatan bahasa Melayu menyebabkan Antonio Pigafetta yang berbangsa Itali menyusun kamus Melayu-Itali dalam tahun 1522. Hal ini sudah tentu menjadi bukti bahawa pada zaman dahulu martabat bahasa Melayu diangkat begitu tinggi oleh penutur-penuturnya iaitu masyarakat Melayu di Nusantara sehinggakan bangsa lain terpaksa belajar bahasa Melayu demi kepentingan urusan perdagangan.Kita mungkin tidak sedar dan terkejut jika diberitahu bahawa jumlah penutur bahasa Melayu di dunia ialah 280 juta orang. Mohd Shukri Mohd Ariff dalam artikelnya “Bahasa Melayu di Pentas Dunia” yang disiarkan dalam ruangan Catatan kepada Pembaca, majalah Dewan Masyarakat ( Jun 2006) menyatakan bahawa bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (1.4 bilion orang penutur),bahasa Cina (1.2 bilion orang penutur), bahasa Hindi (700 juta orang penutur), dan bahasa Sepanyol ( 300 juta orang penutur).Ternyata bahasa Melayu bukan bahasa yang boleh diperkecilkan peranan dan pengaruhnya. Jumlah penutur bahasa Melayu jauh mendahului beberapa bahasa lain yang penting, antaranya bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa Korea dan bahasa Itali.



Kini, dalam kita begitu teruja dan ternanti-nanti akan munculnya ulang tahun kemerdekaan negara yang kelima dekad ini, bahasa Melayu telah diancam kedudukannya. Ironinya, bahasa Melayu yang telah diangkat darjatnya menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara dan dijadikan salah satu elemen penting dalam undang-undang tertinggi Malaysia iaitu Perlembagaan Malaysia, tercabar dan terancam oleh bahasa penjajah. Bahasa Inggeris kembali membelenggu kehidupan kita apabila bahasa itu menguasai ICT dan menjadi bahasa perantara yang penting dalam era globalisasi ini.Lantaran ingin menjadikan negara kita maju dan mampu bersaing di persada dunia, salah satu usaha kerajaan ialah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada mata pelajaran Sains dan Matematik. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh kementerian bagi memastikan bahawa guru-guru yang mengajar mata pelajaran berkenaan diberi latihan dan kursus yang secukupnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Sememangnya tujuannya murni, lantaran guru menjadi tonggak utama perlaksanaan dasar baru itu. Sekiranya guru sendiri gagal menguasai bahasa Inggeris, mana mungkin matlamat yang ingin dicapai menjadi kenyataan. Hanya guru yang berkebolehan berbahasa Inggeris dapat menyampaikan pelajaran dengan baik dan membantu pelajar menguasai mata pelajaran tersebut.Biarpun langkah yang diambil oleh kerajaan merupakan usaha yang murni namun rakyat melihat fenomena ini sebagai satu isyarat bahawa bahasa Inggeris itu amat penting dan perlu diberi keutamaan berbanding bahasa kebangsaan. Penumpuan usaha untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris secara tidak langsung telah meminggirkan kedudukan bahasa Melayu daripada tempat yang sepatutnya.Abu Bakar Yang dalam artikelnya “ Bahasa Melayu: Isu dan Cabaran di Era Globalisasi” menyatakan bahawa sungguh malang sekiranya inilah nasib yang perlu dihadapi oleh bahasa Melayu yang kelihatan tersepit dan tercari-cari kedudukannya dalam persaingan global ini. Beliau akui bahawa pada era globalisasi ini, mahu ataupun tidak penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan lagi oleh masyarakat dunia.Perkembangan ICT telah menjadikan penggunaan bahasa Inggeris semakin unggul sebagai bahasa penghantar masyarakat dunia selaras dengan pengikhtiraan yang diberikan kepadanya sebelum ini sebagai bahasa antarabangsa.



Walau bagaimanapun, beliau juga menyatakan bahawa tidak mustahil dengan usaha bersungguh-sungguh daripada semua pihak akan menjadikan bahasa Melayu dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam penggunaannya dalam bidang ICT. Tidak juga mustahil bahasa Melayu dapat dijadikan salah satu bahasa perantara dalam jaringan ICT, supaya statusnya sebagai lingua franca pada suatu ketika dahulu dapat dipertahankan atau mungkin dikembalikan. Hal ini hanya boleh berlaku sekiranya kelebihan bahasa Melayu yang menjadi bahasa identiti untuk beberapa masyarakat utama di rantau ini dimanfaatkan dan diangkat martabatnya ke tahap yang sewajarnya. (Majalah Visi, April 2007:14). Sekiranya rakyat negara-negara maju seperti Jepun, Perancis, Jerman, Korea dan Sweden tidak pula berasa rendah diri apabila mereka mengutamakan bahasa mereka sendiri, kenapa pula kita harus malu dengan bahasa kita sendiri? Kenapa tidak kita contohi kecintaan bangsa-bangsa maju ini terhadap bahasa mereka sedangkan kita sedar bahawa kemajuan tetap dicapai oleh Jerman, Korea, Perancis, Jepun dan Rusia, biarpun mereka mengutamakan bahasa ibunda mereka sendiri. Mohd Shukri Mohd Ariff menyatakan bahawa banyak negara di dunia yang membuktikan bahawa sesebuah negara hanya akan maju jika menggunakan bahasa ibundanya dalam arus pembangunan perdana. Hal ini demikian kerana hanya melalui bahasa ibunda, sesuatu bangsa itu mampu berfikir secara kreatif, kritis dan berupaya pula mencipta ilmunya sendiri. Oleh itu, sama ada bahasa Melayu berupaya atau tidak menjadi “bahasa ekonomi” bagi memajukan pembangunan ekonomi moden, semuanya terserah kepada penuturnya.Di mana letaknya bangsa Melayu yang merdeka apabila dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri masih mengagungkan bahasa Inggeris. Masih ramai yang juga tidak menyintai bahasa sendiri. Hakikatnya, masih ada dalam kalangan orang-orang Melayu sendiri yang malu menggunakan bahasa Melayu dengan sempurna tetapi sebaliknya menyelitkan bahasa Inggeris dalam percakapan atau perbualan harian. Bahasa yang bercampur aduk ini atau yang juga dikenali sebagai bahasa rojak ini pastinya merendahkan kebolehan dan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Bukan itu sahaja malah struktur bahasa Melayu itu sendiri akan rosak dan tercemar.Hassan Ahmad dalam artikelnya “Bahasa Melayu Selepas 50 Tahun” menyatakan cabaran utama pembinaan atau perancangan bahasa Melayu datangnya daripada orang Melayu itu sendiri. Menurutnya lagi, terdapat dua golongan utama orang Melayu iaitu golongan yang sangsi terhadap keupayaan bahasa Melayu menjadi alat kemajuan negara dan golongan orang Melayu yang merosakkan imej bahasa Melayu sebagai bahasa budaya tinggi. Golongan pertama ialah golongan yang sering mengungkapkan bahawa “Jika orang Melayu hendak menjadi bangsa yang maju di dunia sekarang, mereka hendaklah menguasai bahasa Inggeris”. Golongan yang kedua pula melibatkan semua lapisan sosial yang seolah-olah tidak mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik, kerap menggunakan bahasa Melayu ragam rendah dan kacukan Inggeris-Melayu yang mewujudkan kerancuan bahasa. (Dewan Masyarakat,Jun 2006:hal 39)Dr Rais Yatim pernah berkata bahawa bangsa Melayu perlu sedar kehendak Perkara 160 dalam Perlembagaan Malaysia yang memberi takrif siapa itu Melayu, “ Melayu itu bererti, seseorang berbahasa Melayu, beragama Islam yang mengamalkan adat dan budaya Melayu. Jika seseorang tidak berbahasa Melayu dengan betul, satu sifat kemelayuan sudah habis”.Benar sepertimana yang dinyatakan oleh Adnan Abd Majid dalam artikelnya bertajuk “Ancaman Bahasa Rojak” bahawa keadaan akan menjadi lebih buruk apabila mereka yang mempunyai status lebih tinggi dalam masyarakat pun turut terikut-ikut menggunakan bahasa yang bercampur aduk ini. Kegagalan mereka yang berpengaruh menunjukkan contoh berbahasa yang baik menyebabkan bahasa kebangsaan kita semakin terpinggir dan tidak dihormati. (Dewan Masyarakat,Julai 2004)Bahasa yang bercampur-campur atau dikenali juga dengan bahasa rojak merupakan satu istilah yang dihasilkan oleh orang yang prihatin menyaksikan fenomena percampuran unsur-unsur bahasa asing dengan bahasa Melayu secara yang tidak bersistem atau tidak teratur. Bahasa ini juga merupakan satu variasi atau ragam bahasa basahan yang sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi. Walau bagaimanapun, apabila bahasa ini digunakn dalam urusan rasmi, maka timbullah masalah kesalahan pemilihan ragam bahasa. Sewajarnya dalam urusan rasmi dan bagi tujuan keperluan ilmu dan pemikiran, bahasa yang sesuai digunakan ialah bahasa baku , bukan bahasa basahan atau bahasa pasar. Selama bahasa yang bercampur baur itu digunakan dalam bahasa pertuturan biasa seperti dalam perbualan dengan rakan atau anggota keluarga, tidak timbul isu. Namun fenomena ini sebagai gugutan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu apabila unsur bahasa yang sepatutnya terbatas dalam suasana tidak rasmi telah melarat dalam bidang rasmi seperti dalam mesyuarat, penyiaran dan penulisan. (Awang Sariyan, Julai 2004)Usaha Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ramli Ngah Talib, selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu jelas tergambar melalui pemasyuran yang dikeluarkannya pada 18 April 2006 . Beliau beranggapan isu penggunaan bahasa yang bercampur-aduk oleh para wakil rakyat ketika berucap di dalam Dewan Rakyat sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian. Beliau menyatakan bahawa ucapan sebegitu bukan sahaja tidak sedap didengar malah mencemarkan bahasa Melayu. Beliau juga percaya bahawa lebih 90 peratus pengundi di luar bandar tidak akan memahami bahasa yang dicampuradukkan. Beliau juga melahirkan kebimbingan bahawa sekiranya hal ini dibiarkan berterusan akan menyebabkan bahasa Melayu hilang kewibawaannya. (Pemasyuran yang Dipertua Dewan Rakyat, Dewan Masyarakat, Jun 2006:hal 20).Pemimpin perlu menunjukkan teladan yang betul kepada usaha memperteguhkan bahasa kebangsaan. Pemimpin perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak merojakkan bahasa di majlis-majlis rasmi sehingga menjadi ikutan masyarakat. Pihak media pula harus memulaukan pemimpin yang tidak menghormati bahasa Melayu. Media elektronik juga harus menggunakan bahasa Melayu yang betul kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar kepada penonton. Jika bahasa yang dibawa rosak maka rosaklah minda penonton (Ibrahim Yahaya Julai 2004: 21).


Usaha TV9 haruslah diberikan pujian. Saluran televisyen itu banyak mengutarakan rancangan-rancangan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengantaraannya.Malah kebanyakan rancangan kartunnya yang ditayangkan bermula jam 3.00 petang hingga jam 6.00 petang menyajikan rancangan kartun yang telah dialihbahasakan kepada bahasa Melayu. Rancangan kartun seperti Dora, Blues Clues, Spongebob,dan Cat Dog berjaya menarik peminat cilik untuk menontonnya. Berdasarkan pengamatan penulis, anak lelaki penulis yang berusia tiga setengah tahun sudah pandai menggunakan bahasa Melayu dengan agak baik. Perkataan seperti ‘hebat, bagus, tamat dan beberapa perkataan lagi, telah dapat digunakannya dalam perbualan harian tepat dan bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan. Hal ini jelas menunjukkan kepada kita bagaimana media memainkan peranan yang besar dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.Sekiranya rancangan-rancangan televisyen yang disiarkan gagal menggunakan bahasa Melayu yang baik, pastinya hal ini akan mempengaruhi para penonton terutamanya kanak-kanak dan remaja. Akan lahirlah generasi akan datang yang menggunakan bahasa Melayu yang kurang bermutu dan akan semakin lunturlah kebolehupayaan bahasa Melayu dalam memainkan peranannya. Lama kelamaan bahasa Melayu akan tidak dipedulikan lagi dan akhirnya pupus di mata dunia.Teringat penulis akan kata-kata Abdullah Munsyi pada tahun 1882 mengenai mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri: Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya? (Awang Sariyan,2001:5)



Sebenarnya segala-galanya bermula daripada kesedaran. Kita perlu mempunyai jati diri. Apabila kita menyambut ulang tahun kemerdekaan Negara yang ke- 50 tahun, kita sudah ada kekuatan diri dan keyakinan akan kebolehan bangsa kita iaitu bangsa Malaysia untuk bebas dan maju dengan usaha kita sendiri.Kekuatan dalam adalah perlu dalam kita cuba menangkis pelbagai bentuk cabaran dalam era globalisasi ini. Awang Sariyan sendiri menegaskan bahawa masalah masyarakat kita ialah tidak yakin diri dan berjiwa kecil. Bahasa berkaitan dengan jati diri. Kalau kita tidak ada jati diri, kita memang masih boleh maju dalam bidang ekonomi tetapi tidak dapat atau sukar dikenali orang apakah bangsanya kita ini.Wawasan 2020 telah disebut dengan jelas bahawa kita mesti maju dalam acuan kita sendiri, ertinya termasuk mempertahankan jati diri kita sendiri. Bahasa merupakan salah satu unsur jati diri yang penting. (Peranan DBP :Lebih Tegas dan Jelas” Dewan Masyarakat, Julai 2004).Hal ini juga dipersetujui oleh Anwar Ridhwan. Dalam artikelnya “Bahasa Melayu: Acuan atau Acuman?”, beliau menekankan kepentingan bahasa Melayu sebagai acuan yang amat penting dalam usaha membina jati diri serta mencipta negara maju pada 2020. Rakyat negara ini sewajarnya mengutamakan bahasa Melayu dalam komunikasi dan pendidikan. Bahasa Melayu juga wajar terserlah dalam penerbitan buku ilmu pengetahuan dan kesusasteraan. Bahasa Melayu juga wajar berada di hadapan dalam media cetak dan elektronik. (Dewan Mayarakat ,Jun 2006:14)Menurut Ibrahim Yahaya dalam artikelnya “Perjuangan Berterusan Memartabatkan Bahasa Melayu” bangsa yang bermaruah harus menyanjung tinggi bahasanya dan tidak membenarkan bahasanya dihina sehingga menjadi bahasa murahan. Bangsa yang bermartabat, perlu sentiasa memperjuangkan kepentingan bahasa sehingga ke titisan darah terakhir. (Dewan Masyarakat,Julai 2004:21)Menurut beliau lagi, taraf dan kedudukan bahasa Melayu dilindungi oleh Perlembagaan,Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan. Perkara 152 dalam Perlembagaan negara sudah jelas termaktub bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang tidak boleh diganggu-gugat fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dengan apa-apa cara dan alasan sekalipun.Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ini diwartakan secara khusus dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967, manakala sebagai bahasa penghantar ilmu pula telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan seterusnya dalam Akta Pendididkan 1996.Padilah Haji Ali dalam artikelnya ”Keperkasaan Bahasa Melayu Di Tangan Penggunanya” pernah menyentuh tentang masa depan bahasa Melayu yang tidak bergantung kepada khasiat bahasa Melayu sendiri. Menurutnya, James T.Collins dalam karyanya “Wibawa Bahasa Kepiawaian dan Kepelbagaian” pernah menekankan bahawa perlu adanya pengakuan kita sendiri terhadap wibawa bahasa Melayu sebagai salah sebuah bahasa besar dan utama di dunia. Terkesan oleh penulis akan kata-kata yang pernah diutarakan oleh Dr Awang Sariyan iaitu “Adalah penting kita tanyakan kini bukan kemampuan bahasa Melayu, tetapi kemahuan setiap orang daripada kita sebagai pendukungnya untuk mengungkap fikiran dan perasaan dalam bahasa Melayu yang berwibawa.(Ibrahim Yahaya ,Julai 2004: 23). Jelas di sini bahawa, kita sebagai bangsa Malaysia tanpa mengira kaum perlu mengiktiraf dan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa dan mampu digunakan sebagai bahasa ilmu, bahasa media, bahasa sastera mahupun bahasa media. (Dewan Masyarakat, Jun 2006).Sekiranya kaum bukan Melayu masih mengganggap bahasa Melayu hanya kepunyaan orang-orang Melayu dan hanya kaum itu sahaja yang perlu memartabatkan bahasa Melayu , pastinya misi tersebut akan menemui kegagalan.



Bangsa Malaysia perlu sedar bahawa bahasa Melayu bukan hanya kepunyaan kaum Melayu. Bahasa Melayu ialah kepunyaan bangsa Malaysia. Bahasa Melayu telah sama-sama diangkat oleh pejuang kemerdekaan (yang terdiri daripada pelbagai kaum) menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Bangsa Malaysia yang merdeka seharusnya tetap mempertahankan kedaulatan dan martabat bahasa Melayu. Semua rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan bahasa Melayu yang bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa perpaduan malah mampu berdiri bukan sahaja sebagai bahasa ilmu atau bahasa media tetapi juga merupakan bahasa yang mampu membina peradaban dan tamadun bangsa Malaysia. Benar sebagaimana yang dikatakan oleh Haris Zalkapli dalam tulisannya “Membina Identiti Malaysia’, rakyat negara ini tidak mencapai kemajuan sebenarnya sebagai bangsa merdeka sekiranya bahasa ibunda tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Matlamat ini tidak mampu dicapai dengan kadar segera kerana memerlukan kesedaran dan pendidikan dalam tempoh yang panjangPengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan penyebaran luas idea kritis dan progresif mampu menyumbang kepada pembinaan bangsa. .(Dewan Masyarakat,Jun 2007:61)Kita katakan diri kita merdeka namun masih ramai rakyat Malaysia yang kekal dijajah pemikiran mereka.Pemikiran yang menyatakan hanya bahasa penjajah yang terbaik.Hanya bahasa penjajah yang mampu memajukan dan menaikkan martabat kita sebagai sebuah bangsa Hanya bahasa penjajah yang mampu menjadikan Malaysia berdaya saing di pentas dunia. Justeru, kita menafikan dan menidakkan keupayaan bahasa Melayu.Kita sendiri meletakkan bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang tidak berkemampuan dan tidak tinggi darjatnya. tetapi hakikatnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan bahasa rasmi negara diancam oleh. bangsa Malaysia sendiriSebenarnya, fahaman bahawa jika hendak maju mesti dengan bahasa Inggeris ini sebenarnya merupakan fahaman Yahudi. Mereka sebenarnya yang mengatakan bahawa ada satu ‘superior language’. Mereka mendakwa bahawa bahasa dan bangsa yang agung di dunia ini ialah Yahudi (Dewan Masyarakat, Julai 2004:hal 16). Namun, hal ini tentunya boleh dipertikaikan akan kebenarannya. Segala-galanya terletak di tangan kita sendiri. Adakah kita benar-benar merupakan rakyat Malaysia yang cintakan negara. Tepuk dada tanya selera..,

Rujukan:
1. Abu Bakar yang, Bahasa Melayu: Isu dan Cabaran di Era Globalisasi, Majalah Kefahaman Islam Visi, April 2007: hal 13-17)
2. Adnan Abd Majid “Ancaman Bahasa Rojak”, Julai 2004
3. Awang Sariyan, 2001, Pendidikan Bahasa Melayu Di Malaysia: Pemenuhan Suatu Idealisme, , DBP & Persatuan Linguistik Malaysia

No comments: